Buka mata.
Hati rasa sebal.
Jam menunjukkan pukul 5.15 pagi.
Cuba untuk lelapkan mata semula. Tiba-tiba.....
Bayang-bayang mama bermain-main di mata. Terdengar suaranya memanggilku mesra. Seakan ingin mengkhabarkan kerinduannya padaku. Sebak.
Tarikh menunjukkan 14 March 2017 (semalam). Hmm, tanpa aku sedar, sudah hampir dua tahun dua bulan pemergian mama. Dan hari ini genap lah dua tahun dua bulan.
Allah. Sebaknya di hati. Mama, jika mama masih ada, pasti keadaan kami lebih tersusun atur seperti selalu. Kerana Mama lah yang sentiasa meniupkan semangat pada kami semua di pagi hari.
Sakit. Sakitnya hidup tanpamu Mama. Celiknya mata di pagi hari tanpa mendengar kejutanmu. Melangkah keluar tanpa pamitan salammu. Menjamah makanan tanpa air tanganmu. Mengemas rumah tanpa ajaranmu. Membuat keputusan tanpa doronganmu. Sakit demam tanpa belas ihsanmu. Kesalahan tanpa bebelanmu. Allahu.
Dulu, bebelanmu lah yang paling aku rasa menjengkelkan. Tapi kini, bebelanmu lah yang paling aku rindui, Mama.
Menitis air mata di saat terkenangkan segala kenangan manis bersama. Allah, kau jaga lah ibuku dengan baik di sana seperti mana dia menjaga kami semua di dunia dari sebesar tapak tangan. Tidak lupa juga untuk ku titipkan doa buat ayahanda di sana. Abah, berbahagia lah dengan Mama dan Lisa di sana.
Tunggu kepulangan kami agar dapat kita bersatu kembali seperti dahulu.
Salam sayang dari anak yang terlalu merinduimu dan keluarga kita yang lengkap.
Ini lah keluargaku yang lengkap. Abah, Mama, Fifi, Nina, Lisa, Lily dan aku.
InsyaAllah, suatu hari nanti kita akan berkumpul balik seperti dahulu. Amin.

No comments:
Post a Comment